Wednesday, February 25, 2009

Selling Training: "Developing Selling Skills" / Kemahiran Kejurujualan


FAMA / Ministry of Agirculture has appointed us to run a program for agro based entrepreneurs to develop best selling skills and to realise in order to grow their company they should be able to sell, and making salesmanship their full-time job.

FAMA telah melantik syarikat kami (e-office) untuk menjalankan program latihan usahawan tahun ini. Seramai 30 orang peserta menyertai program yang diadakan di Safira Country Club Seberang Jaya P.Pinang. Encik Haris Fadella menjadi penceramah bagi melatih usahawan-usahawan dalam seni kejurujualan. Kursus ini bermula semalam 24/2/2009 dan tamat esok 26/2/2009 dengan acara penyerahan sijil.

"MEMBINA KEMAHIRAN KEJURUJUALAN" anjuran FAMA


Berikut adalah ucapan aluan dari Pengarah Syarikat E-office semasa perasmian program usahawan:
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..
ASSALAMUALAIKUM WKT

Tuan pengerusi majlis
Yang Berbahagia Encik Anuar, Pengarah FAMA Negeri P.Pinang
Yang Berusaha Encik Yahaya,
Yang dihormati penceramah Encik Haris Fadella,
Dan usahawan-usahawan…

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana RahmatNya kita berada di Majlis Ilmu yang mulia ini.

Tajuk kursus untuk 2 hari ini yang bertajuk “Membina Kemahiran Jualan yang Efektif” adalah amat menarik sekali yang telah dipilih oleh pihak FAMA Negeri P.Pinang.

Sebagai usahawan, tugas anda sebagai “Jurujual” menjadi tunggak kepada survival dan kejayaan di dalam bidang perniagaan yang serba mencabar dan penuh dengan halangan. Jika tuan-tuap dan puan-puan tidak mempunyai kemahiran ini, saya pasti tuan-tuan dan puan-puan tidak akan ke mana..Perniagaan yang tuan-tuan bina hanya kais pagi makan pagi. Lihatlah! Jika perniagaan tuan/puan tidak berkembang walaupun selepas 5 tahun, atau 10 tahun atau 20 tahun, bermakna tuan-tuan dan puan-puan perlu berubah dengan menambah ilmu, meningkatkan kemahiran jurujual dan melihat kesilapan dan ubahlah!

Kemahiran jurujual bukanlah hanya bakat, tetapi mestilah dibentuk dan dipraktikkan tanpa jemu. Menurut penulis buku Brian Tracy, tuan-tuan dan puan-puan perlu berjumpa 100 orang pelanggan baru secepat yang mungkin untuk mengharapkan jualan yang meningkat 3 kali ganda. Wang, tenaga, masa mestilah dikorbankan sebelum memperolehi lonjakan di dalam jualan anda.

(*Brian Tracy adalah penulis buku terkenal, bukunya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu).

Tiada jalan singkat. Tiada magik. Usaha mestilah berterusan.

Adakah tuan/puan boleh berjumpa 100 pelanggan dalam masa 3 bulan? Tidak mungkin.

Tidak mungkin jika tuan/puanlah yang kena mengilang.
Tidak mungkin, jika tuan/puan sendiri yang menjadi kerani
Tidak mungkin, jika tuan/puan sendiri yang melakukan kerja akaun
Tidak mungkin, jika tuan/puan sendiri yang menjadi Runner dan posmen..

Sebab itu, tuan/puan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas kejurujualan dan jagalah pelanggan sendiri. Carilah masa untuk menghiburkan pelanggan anda, berbual dengan pelanggan dan mencari pelanggan-pelanggan baru. Anggaplah perniagaan tuan/puan adalah perniagaan PEMASARAN. Bukanlah PEMBUAT/PENGELUAR semata-mata.

Biarlah kerja-kerja kerani, jurutaip, akaun, runner dibuat oleh orang lain. Ambillah pekerja!

‘Saya telah menyertai kursus untuk usahawan francais oleh Cosmopoint beberapa tahun dahulu. Saya telah diajar oleh penceramah tentang jualan produk kursus, cara mengoperasi bisnes dan cara-cara pemasaran yang sangat bagus sekali.

Seorang penceramah bertanya saya “Siapa yang mengajar Perakaunan di tempat puan?
Saya jawab “saya boleh”
“Siapa yang mengajar Microsoft Office?”
Saya menjawab “Saya juga boleh”
“Siapa yang keluar memasarkan produk?”
Saya menjawab “Saya juga!”

Saya ingat bahawa dengan menjawab demikian, saya seorang yang hebat..rupanya mereka mentertawakan saya..

Itulah pelajaran yang paling berkesan dalam hidup saya. Saya perlu mempunyai pekerja untuk menumpukan usaha saya meningkatkan jualan dan keuntungan syarikat.

Tuan-tuan dan puan-puan mesti FOKUS.

Jadikan perniagaan tuan-tuan dan puan-puan seperti perniagaan yang besar-besar. Bercita-cita besarlah. Sediakan kelengkapan dan kemudahan di dalam pejabat anda. Semuanya untuk menarik pelanggan dan memudahkan urusan jualan anda. Carilah kerani di pejabat untuk menjawab panggilan telefon bagi pihak tuan-tuan..

Belajarlah menggunakan internet dan email untuk mempercepatkan urusan. Bukalah akaun semasa di bank untuk mencipta transaksi harian supaya mudah untuk mendapatkan kemudahan bank. Terimalah cek di dalam perniagaan. Jika anda belum pernah mendaftarkan perniagaan, daftarlah di SSM! Jika tiada mesin faks, adakan. Jika tiada komputer, belilah. Jika tiada kerani akaun, carilah yang memberikan khidmat secara part-time. Jika anda perlukan pembantu jualan, dapatkanlah mereka.

Cetak Kad Nama anda secara professional (jangan fotostat atau cetak sendiri), Berpakaianlah dengan kemas. Bercakaplah dengan penuh keyakinan dan positif. Ubahlah untuk kebaikan tuan-tuan dan puan-puan.

Beruntunglah tuan-tuan dan puan-puan pada hari dipilih untuk menyertai kursus ini. Di dalam kursus ini tuan-tuan dan puan-puan diajar dengan pelbagai teknik menjual oleh penceramah yang tak kurang hebatnya.

Semoga kita sama-sama BERJAYA!